Tuesday, February 9, 2010

Catatan di tepi tembok kota KL

Maka berlalulah orang ramai di hadapan pengemis itu. Ia berbaring dan tiada siapa yang ambil peduli. Dilemparinya wang koin yang entah berapa nilainya oleh orang yang peduli, tanda wujudnya perasaan simpati.

Pengemis tua itu tertidur barangkali, dengan melihat keadaannya yang dihurungi lalat dan juga setelah hampir 3 jam aku berada disitu memandang keadaanya. Tiada siapa yang berhenti sejenak disitu untuk memikirkan apakah sebenarnya yang berlaku ke atasnya. Adakah dia cuma tertidur atau adakah dia sudah mati. Masing-masing tidak tahu, begitu juga dengan aku. Bukankah dunia ini tempat untuk orang yang sentiasa dalam kesibukan dan kita semua tiada masa untuk mengambil perhatian atas hal orang lain. Lagipun siapakah pengemis itu, entah-entah orang gila. Orang gila yang berpura-pura dalam keadaan yang begitu daif untuk meminta simpati.

Dan disaat itulah point cerita ini ditulis bermula. Dia bingkas bangun dari perbaringannya dan bangkit meraung sekuat hati. Meraung, meraung dan meraung. Bukan main lagi kuat raungannya, seolah-olah memekikkan kata hatinya ke seluruh kota itu. Ia berlanjutan selama 2 minit, dan ia berjaya menarik perhatian orang disekeliling yang berjalan di hadapan nya.

Cuma 2 minit kita berhenti. Cuma 2 minit. Di saat itu lah terbitnya simpati, terbitlah perasaan belas kasihan, dan terbit jugalah manusia yang hatinya suci. Begitu juga dengan masa, ia seolah-olah berhenti seketika, begitu juga angin, dan hidupan-hidupan lain disekeliling. Dan selepas itu keadaan menjadi seperti biasa.

Manusia menjadi sibuk kembali dengan urusannya sendiri. Begitu juga dengan kota, keadaan memang menjadi kembali seperti sediakala. Aku tertanya-tanya, apakah jeritan hati pengemis itu hanya didengari hanya cuma untuk seketika. Sekiranya iya, aku doakan kematian saja untuknya.

No comments:

Post a Comment