Monday, January 18, 2010

Kenapa kaum lelaki membaca?


June 12, 2008 – 4:07 am Oleh Najibah
Sering kita dengar, wanita dikatakan membaca untuk memenuhi keinginan emosinya lebih daripada intelektual. Itulah sebabnya ramai wanita membaca novel cinta. Mereka juga lebih banyak menggunakan buku masakan dan buku jahitan, manakala lelaki lebih macho dengan buku-buku yang hebat seperti politik dan sejarah.

Sebuah artikel ringkas tulisan Kaite Mediatore Stover (seorang ketua pustakawan di Perpustakaan Awam Kansas) yang dimuatkan di dalam Booklist (1 May 2008) cuba menyorot hal ini dalam nada lucu yang mencuit hati. Penulis telah membuat satu soal selidik santai ke atas beberapa orang lelaki dengan satu soalan mudah: Apa yang kamu baca dan kenapa kamu membaca?
“Saya bermula dengan pemandu bas Walsch, kerana selalu terlihat ada buku bacaan pemandu itu terdampar di atas kotak mengisi bayaran tambang. Pagi itu, dia membaca Sahara oleh Clive Cussler.

‘Kenapa? Kamu fikir aku suka memandu bas sepanjang hari? Aku kena cari perkara lain untuk difikirkan selain teksi-teksi gila dan penumpang-penumpang yang berbau!’ Kata Walsch. Dia bercerita penuh semangat tentang pengarang lain yang digemarinya, WEB Griffin dan Richard Marcinko.

‘Semua lelaki ni adalah orang-orang yang tahu apa yang perlu dibuat. Tak perlu sesiapa beritahu mereka apa yang patut mereka buat….Tak ada yang boleh ganti Dark Pitt dan Rogue Warrior’. Saya termenung sejenak. ‘Bunyinya macam kenapa orang perempuan baca novel cinta, kan?’ Saya bertanya. Pemandu bas saya pun berubah wajah dan membrek kuat di tempat saya mahu berhenti. ‘Turun dari bas aku ni! Mungkin aku ambik kamu lewat sikit pukul 5.20.’ Dia menutup pintu kuat-kuat dan menderu menancap bas meninggalkan asap ekzos.

Di sebuah kafe dalam kawasan kejiranan, Simon menunjukkan kepada saya apa yang sedang dibacanya: Blood Makes the Grass Grow Green. Simon seronok menerangkan tentang kisah suka-duka askar di Afghanistan dalam buku itu. Dia turut menerangkan tentang perbualan askar termasuk keinginan salah seorang daripada mereka pulang ke kampung halaman dan memulakan hidup dengan wanita yang sesuai. Kisah ini mengingatkan saya tentang novel chicklit dan saya jelaskan teori itu kepada Simon. Air muka Simon terus berubah dan dia sampai terlupa mengambil bayaran untuk latte saya.

Seorang lelaki lagi yang saya tanya adalah Joey, petugas bahagian fasiliti perpustakaan semasa dia sedang membaiki sesuatu. Katanya dia tidak membaca kecuali buku-buku panduan berkenaan hobinya. Lalu saya mencelah bahawa itu ada persamaan dengan wanita yang membaca buku mengait atau buku masakan! Joey terus mengemaskan peralatannya dan menyuruh saya jangan membuat permohonan membaiki apa-apa untuk hari tersebut.

Oleh sebab pertanyaan saya belum terjawab sepenuhnya, saya cuba menyoal seorang pembaca tegar yang dikenali. Chris sedang membaca buku Winston Churchill, History of the English-Speaking Peoples. Dia asyik bercerita tentang perincian sejarah, kehidupan negarawan terbilang, kejayaan dan kejadian yang membentuk pemikiran mereka serta lahirnya bangsa yang hebat. Katanya dia berasa puas dapat membaca sebuah volume dengan isi seberat itu. Saya mengangguk setuju dan berkata itulah yang saya rasa apabila membaca siri kisah perkampungan karya Miss Read. Chris terkulat-kulat tidak pasti siri mana yang saya maksudkan.”

Catatan ringkas Stover ini menggeletek hati. Persamaan memang ada walaupun subjek ilmu yang dibaca itu berbeza. Kata Stover di penghujung catatannya, ini adalah perkara yang asas. Sebenarnya lelaki juga membaca bahan yang sama dengan wanita, cuma tajuknya telah diubah suai untuk melindungi lelaki sebagai golongan yang bersih.

* * * * * * *

Namun perhatikan pula betapa setiap golongan di negara Barat asyik dengan buku hatta pemandu basnya juga.

1 comment:

  1. Sori. Artikel nih aku tak ambil pula rujukannya dari mana. kalau tidak boleh diambik tolong inform awal2 yer.

    ReplyDelete